Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, usaha melalui kementerian terbabit sebagai memberi nafas baharu selepas Lahad Datu digemparkan dengan pencerobohan pengganas dua tahun lalu.

Hal demikian kerana jelasnya, peristiwa itu masih lagi dirasai sehingga menjejaskan penduduk dari aspek keselamatan, ekonomi dan emosi.

“Mengambil konsep ‘rejuvenation’ (memberikan nafas baharu), program ini direncanakan dengan hasrat mengembalikan semula kegemilangan Lahad Datu melalui impak perubahan yang lebih baik dari segi pemikiran, emosi dan jati diri penduduk setempat.

“Kita turut menitikberatkan pembangunan minda dengan pendedahan dan kerohanian melalui ceramah motivasi di samping elemen-elemen lain seperti pengekalan kebahagian dan kecemerlangan negara di samping pendedahan penjagaan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembangunan Modal Insan: Rejuvenasi Lahad Datu di Dewan Tun Mustapha dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Datuk Mohd. Yusof Apdal.

Seramai 330 orang peserta Program Pembangunan Modal Insan 2015 kementerian serta 500 orang penduduk setempat menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka sepanjang program berkenaan.

Antaranya aktiviti gotong-royong, membaik pulih infrastruktur dan sumbangan keperluan asas, bengkel kesihatan dan keselamatan serta pameran kerjaya yang menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Program berkenaan mendapat sokongan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC), GiatMara, Felcra negeri, Pejabat Daerah Lahad Datu, Persatuan Belia Lahad Datu, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Lahad Datu, Jabatan Perhutanan, Jabatan Penerangan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom).

Alexander memberitahu, program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dalam membangunkan masyarakat luar bandar.

Jelasnya, selain melaksanakan Program Pembangunan Modal Insan, kementerian turut melaksanakan projek fizikal dalam membangunkan golongan sasaran seperti pembekalan air bersih, penyediaan jalan dan elektrik di luar bandar di samping menyediakan program bantuan rumah kepada mereka yang memerlukan.

“Dalam konteks kesejahteraan rakyat, kita turut melaksanakan Program Pembangunan Masyarakat Setempat, Program Peningkatan Pendapatan serta Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya.

“Kita juga berperanan dalam membangunkan usahawan belia luar bandar melalui Program Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) di samping membangunkan desa dengan meningkatkan keupayaan komuniti melalui Program Desa Lestari,” tambahnya.