Ketua Pegawai Korporat Kumpulan Axiata, Mohamad Idham Nawawi berkata, syarikat-syarikat bumiputera seharusnya berani untuk merebut peluang yang telah disediakan kerajaan melalui agensi seperti Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) dan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

Ujarnya, penglibatan usahawan bumiputera dalam program-program keusahawanan yang dianjurkan dapat membantu meningkatkan keyakinan serta memberi peluang mengembangkan perniagaan masing-masing ke peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, program seperti hari terbuka MaGIC misalnya memberi pendedahan kepada para usahawan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh rantau ini.

“Saya sarankan syarikat-syarikat bumiputera yang hendak mencuba berkecimpung dalam perniagaan digital memanfaatkan program-program keusahawanan yang diadakan dengan menimba pengetahuan kerana program tersebut bukan setakat memberi pendedahan bagi pasaran Malaysia sahaja malah sehingga ke luar negara. Jadi usahawan bumiputera kita jangan malu untuk turut serta.

“Kalau kita hendak jadi negara maju yang menjana pendapat­an melalui ekonomi digital, kita harus mendukung aspirasi kerajaan kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi membantu para usahawan hari ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu Ketua Pegawai Ek­sekutif Mavcap, Jamaludin Bu­jang turut bersetuju agar usahawan bumiputera terutamanya para belia untuk meluaskan ja­ringan perhubungan antara satu sama lain.

“Anak-anak Melayu, anak-anak muda yang hendak berkecimpung dalam bidang e-dagang ini mesti berkenalan dengan orang yang ada kepakaran dalam bidang ini dan sentiasa membantu antara satu sama lain dan jangan lihat mereka sebagai pesaing,” katanya.

Di samping itu Jamaludin ber­kata, dalam mengharungi cabaran era digital hari ini, para usahawan perlu mempunyai daya ketahanan yang tinggi serta cepat menyesuaikan diri serta berfikir dengan lebih pantas.

“Bila sebut mengenai teknologi mereka kena faham tentang evolusi produk, kita tak mahu apabila produk itu dipasarkan ia tidak lagi menjadi sesuatu yang hit di pasar­an, jadi para belia hari ini harus berfikir jauh dengan menghasilkan idea-idea bernas,” ujarnya.