Salleh Said Keruak

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, nilai ko­mersial juga perlu diambil kira bagi memastikan filem dan drama tempatan terus menjadi pi­lihan para penonton.

Katanya, walau bagaimanapun kerajaan sentiasa mengga­lakkan tajuk drama dan filem itu menggunakan bahasa yang lebih bersesuaian.

“Tajuk yang menarik termasuk penggunaan bahasa rojak adalah elemen mustahak bagi para penerbit dan pengusaha filem atau drama mencuri perhatian penonton, malah daripada segi undang-undang juga ia tidak salah untuk mereka berbuat demikian.

“Lebih-lebih lagi industri perfileman dan drama ini turut melibatkan bidang komersial, jadi kita agak terbuka dan sentiasa melihat garis panduan. Jika ia melampau, kita bersedia untuk membaiki,” katanya kepada pemberita di Auditorium Cinematheque @ Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kajian Kesan Ekonomi terhadap Industri Muzik Malaysia daripada Persatu­an Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan PricewaterhouseCoopers (PWC) Malaysia.

Salleh Said mengulas mengenai teguran daripada Pengerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF), Datuk Halim Abdul Hamid terhadap stesen televisyen dan penerbit yang membenarkan penggunaan bahasa rojak pada tajuk cerita untuk tontonan umum.

Tambah beliau, semua pihak perlu lebih memahami kerana tindakan terlalu mengongkong akan mengakibatkan industri filem dan drama tempatan sukar untuk berkembang.

Katanya, mesej dan nilai murni yang cuba disampaikan menerusi filem serta drama tersebut adalah lebih pen­ting bagi pemba­ngunan sosial masyarakat negara ini.

Dalam perkembangan lain, Salleh turut meminta kerjasama daripada pelbagai pihak terma­suk beberapa kementerian untuk menggiatkan industri muzik tempatan agar dapat memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya, kawalan dan penguatkuasaan perlu diwujudkan menerusi sistem perundangan negara bagi melindungi industri seni tanah air daripada ancaman cetak rompak.

“Kerajaan bersedia meneliti cadangan dan pandangan semua pihak dalam industri ini kerana saya percaya jika ia dipelihara dengan baik ia juga mampu memberi peluang pekerjaan dan menjana ekonomi negara,” jelasnya.