Mahathir Mohamad

Peguam pemerhati yang mewakilinya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau menerima sepina bagi pihak bekas Perdana Menteri kira-kira pukul 2.35 petang di pejabatnya di Kota Damansara.

Menurut beliau, sepina itu yang dihantar oleh wakil daripada suruhanjaya menghendaki Dr. Mahathir hadir ke Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman di sini pada pukul 11 pagi.

“Saya menerima sepina bagi pihak Dr. Mahathir kerana beliau berada di Kedah menghadiri majlis istiadat kemangkatan dan pemakaman diraja Sultan Kedah, Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah,’’ ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mohamed Haniff Khatri berkata, beliau akan menulis surat kepada pihak suruhanjaya untuk mendapatkan tarikh sesuai agar kenyataan bekas Perdana Menteri dirakam terlebih dahulu sebelum beliau memberi ketera­ngan.

Ujarnya, sebanyak 20 individu yang dipanggil sebelum ini telah dirakam kenyataannya kecuali bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana dia berada di penjara.

“Kenyataan Dr. Mahathir perlu dirakam terlebih dahulu bagi memberinya peluang seperti saksi-saksi lain mengingati peristiwa yang berlaku hampir 27 tahun lalu,’’ ujarnya.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Mohamed Haniff Khatri

Menurut beliau, jika pihak suruhanjaya tidak berhasrat me­rakam kenyataan Dr. Mahathir, pihaknya akan mengemukakan permohonan bertulis agar anak guamnya diberi peluang merujuk dokumen-dokumen berkaitan selewat-lewatnya Jumaat ini.

Nama bekas Perdana Menteri itu disebut beberapa kali minggu lalu oleh beberapa saksi pada prosiding berkenaan termasuk bekas pedagang tukaran mata wang asing, Azman Mat Ali berhubung kehadiran Dr. Mahathir ketika majlis pelancaran bilik dagangan tukaran mata wang asing di London, United Kingdom.

Setakat ini sebanyak 21 saksi telah memberi keterangan pada suruhanjaya yang telah bersidang selama tujuh hari manakala Anwar saksi terakhir yang memberi keterangan minggu lalu.

Antara orang-orang kenamaan yang telah dipanggil sebagai saksi termasuk dua bekas Gabenor BNM, Tan Sri Ahmad Mohd. Don dan Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz; bekas Penasihat bank pusat itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

Pada minggu depan, suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan itu akan bersidang semula pada 18 hingga 21 September ini.