Ekspedisi Kembara Musafir Alam Sejati itu terdiri daripada pengamal media, belia dan pegawai kanan agensi kerajaan.

Pengerusi RBO Team, Abdul Rahim Othman yang mengetuai pasukan itu berkata, pendakian tersebut merupakan ekspedisi ke-10 yang turut disertai Pegawai Daerah Lipis, Datuk A. Rahman Hamzah.

"Pendakian yang dijangka mengambil masa dua hari ini mendapat sokongan penuh daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan penaung kelab iaitu Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Menjunjung kasih atas sokongan tuanku. Dorongan dan galakan daripada baginda meniup semangat kami para peserta untuk menawan puncak Gunung Kinabalu," katanya hari ini.

Majlis pelepasan peserta ekspedisi itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapha Long yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohd. Johari Hussain di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut berlangsung pada majlis tersebut adalah penyerahan bendera negeri, bendera Revisit Pahang dan risalah pelancongan Tourism Pahang untuk diedarkan kepada pendaki-pendaki terutama dari luar negara sepanjang pendakian berkeanan.

Menurut Abdul Rahim, mereka bersyukur kerana banyak pihak yang memberi sokongan dan penajaan bagi menjayakan ekspedisi tersebut.

Katanya, pendakian kali ini memerlukan komitmen dan semangat berpasukan tinggi bagi semua peserta dalam usaha menjayakan ekspedisi.

"Cabaran ini juga bertujuan menyemai semangat kerjasama, jati diri dan disiplin peserta sebagai usaha memupuk nilai murni serta semangat jitu dalam kalangan mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE