Dinamakan sebagai ‘Mobile Solat Sahabat’, ruang solat yang boleh dipindahkan menggunakan lori itu boleh dimanfaatkan jemaah lelaki dan wanita pada satu-satu masa selain turut dilengkapi kemudahan mengambil wuduk.

TARMIZI OSMAN
TARMIZI OSMAN 

Menurut Pengasas PSB, Tarmizi Osman, idea menyediakan ruang solat bergerak itu tercetus selepas pihaknya mendapat rungutan daripada orang ramai yang berdepan kesukaran menunaikan solat ketika menyertai satu karnival di negeri ini beberapa bulan lalu.

Katanya, kesukaran itu disebabkan lokasi penganjuran yang jauh dari surau dan masjid selain pihak penganjur juga tidak menyediakan kemudahan ruang solat kepada pengunjung.

Dari situ, tambah beliau, pihaknya mula merangka reka bentuk ruang solat bergerak tersebut supaya dapat mempermudahkan umat Islam menunaikan tanggungjawab menunaikan solat ketika menyertai karnival atau program berskala besar.

“Apabila siap kelak, ruang solat bergerak ini mampu memuatkan 29 jemaah iaitu 21 lelaki dan lapan wanita pada satu-satu masa.

“Selain untuk solat, ruang di dalam mobil ini juga boleh dijadikan pentas kuliah atau tazkirah bagi penganjuran program tertentu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Tarmizi, pihaknya kini sedang berkerjasama untuk membangunkan Mobile Solat Sahabat itu dengan sebuah syarikat di Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya berdepan kekangan kewangan memandangkan kos menghasilkan kemudahan itu agak tinggi iaitu kira-kira RM204,000.

Sehubungan itu, tambahnya, PSB mengharapkan sumbangan dairpada orang ramai atau mana-mana pihak untuk sama-sama merealisasikan hasrat pembinaan kemudahan tersebut.

“Kami juga sudah membawa cadangan ini kepada Jabatan Mufti negeri yang memberi galakan supaya usaha ini diteruskan selain berjumpa dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang turut memberi sokongan penuh,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi PSB di talian 012-4204014; 011-11457926; 019-4438566 atau boleh terus menghulurkan sumbangan kepada akaun Maybank Persatuan Sahabat Belia di nombor 557344063459. – UTUSAN ONLINE