Bagaimanapun, itu hanya akan berlaku selepas tempoh percutian hari raya bersama Fasha di kampung halamannya di Perlis.

Menurut Fasha, tahun ini dia sangat gembira kerana kedua-dua anaknya dapat meraikan lebaran bersama sanak-saudara yang ada.

Sejak berpisah dengan Rizal atau Jejai pada Januari tahun lalu, ini merupakan lebaran kedua dia bergelar ibu tunggal kepada Putera Rayfal Ramli, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.

“Anak-anak adalah kekuatan saya. Saya sendiri tidak sanggup berpisah dengan mereka walaupun sekejap, apatah lagi pada hari mulia 1 Syawal ini.

“Hidup saya tidak lengkap tanpa mereka. Apa yang boleh dikatakan, mereka akan beraya dengan saya setiap tahun. Sampai bila-bila pun harapnya kami akan bersama,” kata pelakon berusia 33 tahun itu kepada Ming­guan Malaysia baru-baru ini.

Ditanya adakah bekas suaminya pernah memohon mengambil anak-anak untuk musim perayaan kali ini, Fasha mengakui Jejai ada berbuat demikian.

Sebagai ibu, katanya, dia tetap akan membenarkan ke­dua-dua anaknya beraya bersama dengan bapa mereka tetapi hanya selepas dia pulang dari Perlis.

Mengambil kesempatan pulang ke sana selama seminggu sebelum kembali beker­ja, kedua-dua anak-anaknya pula akan tinggal di kampung selama tiga minggu bersama dengan ibunya, Hatijah Teh Man.

“Saya gembira bila melihat anak-anak gembira bertemu dengan saudara-mara. Macam-macam perkara yang kami lakukan bersama memandang­kan tiada sebab untuk kami berduka.

“Apa yang penting saya dapat menikmati lebaran dengan penuh kasih sa­yang daripada keluarga,” katanya.

Terdahulu, Fasha dikatakan intim dengan seorang lelaki yang baharu dikenali dan rapat dengan dirinya.

Diasak de­ngan perta­nya­an adakah ini merupakan lebaran terakhir untuknya bergelar ibu tunggal, dia mempu­nyai jawapan tersendiri mengenai hal tersebut.

“Sukar untuk saya beri jaminan adakah ini Aidilfitri terakhir saya memegang status ibu tunggal. Sama ada akan bergelar isteri atau tidak pada masa hadapan, saya serahkan segalanya pada takdir,” katanya.