AKHBAR SATAR
AKHBAR SATAR

Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar berkata, rasuah sememangnya musuh nombor satu negara kerana kesannya bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi, sosial, malah politik negara tersebut.

“Dalam usaha menghindari rasuah  dan salah guna kuasa daripada menular dalam kalangan rakyat bermula pihak bawahan sehingga atasan, langkah seperti memberikan kelebihan atau laluan mudah kepada proksi perlu dihentikan.

“Ini bagi memastikan mereka yang benar-benar layak, berkualiti dan berwibawa akan mendapat tempat itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang menggesa Ahli-ahli Dewan Negara mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh nombor satu negara.  

Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan isu-isu berkaitan dadah, kebolosan warga asing, penyeludupan, ketirisan pendapatan serta hasil negara, perjudian dan pelacuran semakin berleluasa kerana wujudnya amalan rasuah serta salah guna kuasa

Mengulas lanjut Akhbar berkata, pengisytiharan harta kepada SPRM juga perlu dikuatkuasakan kepada semua menteri termasuk Perdana Menteri, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara dan semua ketua jabatan dalam memastikan ketelusan dan membendung salah laku rasuah dalam kalangan pemimpin. 

“Malah, Ketua Pesuruhjaya SPRM juga perlu berbuat demikian dengan mengemukakan pengisytiharan harta kepada Parlimen,” ujarnya. 

AZRUL AKMAL SAHARUDIN
AZRUL AKMAL SAHARUDIN

Sementara itu, Setiausaha Biro Pemantauan dan Integriti Perkasa, Azrul Akmal Saharudin berkata, cadangan supaya mengisytiharkan rasuah dan salah guna kuasa sebagai musuh negara adalah langkah tepat sebagaimana dadah juga diisytiharkan musuh negara sebelum ini.

“Ini perlu kerana ancaman ini perlu dinyatakan secara jelas agar lebih banyak tindakan dan undang-undang ketat akan dilaksanakan bagi memerangi­nya,” katanya.

Azrul Akmal menambah, rasuah dan salah guna kuasa ini juga menjadi penyebab kepada tular jenayah sehingga meningkatnya pembunuhan dan penculikan.

“Oleh itu, kita mencadangkan supaya satu kajian terperinci dibuat dan melihat keberkesanan hukuman pesalah rasuah yang boleh dikenakan hukuman mati seperti di China.

“Tindakan tegas seperti ini akan menggerunkan mereka yang berniat dan telah melakukan ra­suah dan salah guna kuasa di negara ini.

“Rasuah dan salah guna kuasa bukan sahaja memberi impak kepada negara, malah menggalakkan masalah sosial seperti masalah  mesin judi  haram dan pemerdagangan manusia,” katanya.