Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, peringatan itu selari dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dengan tema ‘Memecah Rantaian Rasuah’ yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Beliau berkata, ucapan Dr Mahathir semasa melancarkan pelan lima tahun itu menuntut kerjasama semua pihak untuk menangani gejala yang ditegah agama ini.

“Ketirisan dan rasuah boleh merosakkan keselamatan dan kebolosan (sempadan).

“Kita perlukan kesedaran dan kerjasama semua pihak, Islam mengutuk pemberi dan penerrima rasuah serta orang tengah kepada pelaku rasuah,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih-Muih Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sebanyak 13,000 kotak kuih raya yang disediakan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama) diserahkan kepada wakil 14 agensi keselamatan termasuk polis, tentera dan bomba serta pengawal keselamatan yang bertugas di Kompleks Kota Darulnaim.

Sebahagian anggota keselamatan yang hadir di Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih-Muih Aidilfitri

SEBAHAGIAN anggota keselamatan yang hadir di Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih-Muih Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di Dewan Teratai, Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini. - UTUSAN ONLINE

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad meminta rakyat di negeri ini umumnya dan khususnya kepada pihak berkuasa, petugas keselamatan, peniaga, pembeli dan pelancong agar memberi kerjasama dalam menangani aktiviti rasuah di mana sahaja.

“Tambahan pula, negeri Kelantan yang mempunyai pintu masuk ke Thailand menyebabkan aktiviti jenayah mudah

dilakukan jika tiada penguatkuasaan yang ketat.

“Seluruh petugas keselamatan dan rakyat perlu memahami impak dan kesan akibat kelemahan daripada pembolosan sempadan.

“Seandainya kawalan sempadan tidak diperketatkan dari masa ke semasa, penyeludup bukan sahaja boleh membawa barangan seperti mercun, dadah dan senjata malah aktiviti pemerdagangan manusia dan penjualan organ juga akan semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, penyampaian sumbangan kuih raya itu walaupun kecil adalah sebahagian penghargaan kerajaan negeri terhadap pengorbanan pasukan keselamatan menjaga keamanan negara.

“Pepatah Arab menyebut ‘hubbul watan minal iman’ yang bermaksud cintakan negara adalah sebahagian daripada iman.

“Kewujudan sesebuah negara adalah anugerah daripada Allah kepada sesuatu bangsa dan umat untuk menjalani kehidupan dengan tenteram serta sejahtera justeru kita wajib menjaganya dengan baik,” katanya. - UTUSAN ONLINE