Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Bahari Mohd Jamil berkata, 13 daripada penjawat awam tersebut memegang jawatan peringkat pengurusan tertinggi, 44 daripada peringkat pengurusan dan profesional manakala 134 pula adalah kumpulan pelaksana.

“Kita mahu memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah yang memang fokusnya terhadap gejala rasuah dalam sektor awam.

“Dalam masa tiga tahun ini menjelang 2020, kita fokus kepada sektor awam dahulu, bagaimanapun ia tidak bermakna sektor lain diketepikan,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini hari ini.

Pada majlis itu Shamshun Bahari mewakili SPRM turut menandatangani memorandum per­­se­­fahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pe­pejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi kerjasama dalam khidmat nasihat dan rundingan serta perkongsian maklumat mengenai perlakuan jenayah rasuah.

Warga KPKT diketuai menterinya, Tan Sri Noh Omar, turut melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang bertujuan meningkatkan rasa tanggungjawab penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan menghindari amalan rasuah dalam majlis itu.

Noh berkata, langkah menyertai bacaan ikrar itu memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa kementerian berkenaan berjanji akan menjalankan tugas dengan amanah dan tidak prejudis ke atas mana-mana warganya yang terlibat dalam perbuatan rasuah.

“Kita tidak mahu rasuah menjadi seperti budaya dalam negara kita kerana ia akan meranapkan negara, bukan sahaja rakyat tempatan hilang kepercayaan kepada kerajaan, malah pelabur luar juga tidak akan datang ke negara kita," katanya.

KPKT kementerian yang ke-11 melafazkan ikrar tersebut. –BERNAMA