Abdul Malik Pakeer Mohamad,35, berkata, kas-kas biasa digunakan dalam masakan masyarakat India Muslim tetapi dalam kuantiti yang sedikit sebagai penambah perasa makanan.

Katanya, kas-kas bertujuan untuk memekatkan kuah dan menambah rasa dalam kari.

"Kas-kas mengandungi opiate namun kerajaan tidak mengharamkan penggunaan kas-kas dalam masakan.

"Jadi saya berharap orang ramai tidak membuat andaian yang tidak benar dan mohon siasat terlebih dahulu kerana ini menjejaskan perniagaan saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Restoran berkenaan diperiksa polis dan Jabatan Kesihatan kelmarin selepas menerima aduan pelanggan yang mengalami gejala lemah dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Abdul Malik turut menafikan seorang tukang masak dan dua pembantunya termasuk seorang warga Bangladesh ditahan polis selepas didapati positif dadah jenis opiat.

Menurutnya, semua pekerjanya dibenarkan pulang dan perniagaannya beroperasi seperti biasa pada hari tersebut.

"Saya telah membuat laporan polis kelmarin terhadap pihak yang menularkan mesej kononnya para pekerja saya ditahan dan saya mahu siasatan dijalankan," katanya.

Terdahulu, mesej yang mendakwa seorang anggota polis dan tiga lagi anggota gagal ujian saringan air kencing selepas makan di sebuah premis di sini dan tukang masak premis berkenaan sudah ditahan, menjadi viral di laman sosial.

Difahamkan, pemeriksaan dijalankan susulan laporan seorang anggota polis yang mengalami gejala lemah, mengantuk dan khayal selepas makan di premis berkenaan.

Pemeriksaan dijalankan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama pegawai Jabatan Kesihatan turut merampas beberapa jenis masakan seperti kuah makanan, ayam goreng, sayur dan nasi putih. - UTUSAN ONLINE