Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, persediaan untuk sambutan itu telah hampir siap selepas acara raptai penuh yang diadakan berjalan lancar dan penuh dengan nilai-nilai sejarah.

“Sambutan Hari Malaysia ini adalah peristiwa penting dan bersejarah yang perlu diraikan dengan penuh adat serta nilai sejarah untuk dipamerkan kepada semua pihak khususnya generasi akan datang agar tidak dilupakan.

“Oleh itu, elemen-elemen sejarah pada awal pembentukan Malaysia perlu diterapkan agar boleh difahami dan dihayati semua rakyat di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri raptai penuh sempena sambutan Hari Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap Pengerusi penganjur, Datuk Peter Anthony.

Sambutan ulang tahun pembentukan Malaysia itu bakal dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selain turut dihadiri pemimpin kerajaan Sabah dan Sarawak serta Persekutuan.

Mohd. Shafie berkata, peserta yang menyertai sambutan ini khususnya penari menzahirkan komitmen penuh dalam menjayakan sambutan ini.

“Saya amat berterima kasih kepada semua yang terlibat kerana turut sama dalam menjayakan sambutan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE