Penarafan itu diberikan oleh Universitas 21 (U21) iaitu satu-satunya badan penarafan antarabangsa yang diterbitkan oleh Institut Ekonomi Gunaan dan Penyelidikan Sosial Melbourne, Universiti Melbourne. Ia menilai mengikut negara keseluruhannya tanpa diukur melalui pencapaian setiap universiti.

Sebanyak 50 negara dinilai U21 secara tahunan dengan turut menyenaraikan negara maju dan membangun. Malaysia mencapai kedudukan nombor satu mengatasi United Kingdom, Hong Kong, Jerman dan Jepun dalam kategori peruntukan sumber sekali gus membuktikan kerajaan sangat komited dalam menyuntik dana termasuk dalam kerja-kerja penyelidikan dan kos pengajian setiap pelajar untuk kemajuan pendidikan tinggi.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan memperuntukkan sumber yang mencukupi. Walau bagaima­napun, tidak dinafikan bahawa universiti awam boleh memper­tingkatkan kecekapan perbelanjaan dan pengurusan mereka.

Kedudukan pendidikan tinggi negara turut berada pada tempat ke-13 dalam kategori persekitaran manakala dari sudut jaringan perhubungan ditempatkan pada kedudukan ke-38 selain kategori Output disenaraikan pada tempat ke-25 iaitu meningkat tujuh kedudukan dalam tempoh lima tahun.

Pencapaian Universiti Malaya (UM) pula terus mengukir kejayaan dan menghampiri 100 universiti terbaik dunia apabila universiti tertua negara itu memperbaiki kedudukan pada tempat ke-114 di dunia.

Kedudukan itu melonjak 19 kedudukan dari tahun lalu atau 53 tempat daripada kedudukan ke-167 yang dicatatkan pada tahun 2013.

Pada kedudukan membanggakan di peringkat dunia itu, UM mengatasi universiti terkemuka lain di seluruh dunia termasuk Universiti RMIT di Melbourne, Universiti Georgetown di Amerika Syarikat (AS) dan Universiti SOAS di London.

Peningkatan UM itu juga secara tidak langsung disumbangkan oleh pelaburan terbesar kerajaan dalam bidang pendidikan tinggi dan pengenalan inisiatif Penyelidikan Berimpak Tinggi (HIR). UM telah memperbaiki kedudukan lima tahun berturut-turut tanpa sebarang penurunan. Dengan pencapaian memberangsangkan itu, UM dijadualkan untuk memasuki 100 teratas dunia dalam tempoh satu atau dua tahun akan datang.

Penarafan yang dibuat oleh QS World University Ranking 2017/2018 itu turut meletakkan universiti di Malaysia disenaraikan dalam kedudukan ketiga (UM), keempat (Universiti Putra Malaysia), kelima (Universiti Kebangsaan Malaysia), ketujuh (Universiti Teknologi Malaysia) dan kelapan ( Universiti Sains Malaysia) di ASEAN. Ia sekali gus menunjukkan bahawa negara menjadi destinasi pendidikan tinggi berkualiti di rantau ini.

Badan penarafan antarabangsa itu turut merekodkan lima universiti penyelidikan negara iaitu UM, USM, UKM, UPM dan UTM dalam kelompok satu peratus terbaik dunia daripada 26,000 universiti keseluruhannya.

UPM pula bertambah baik untuk tempoh lima tahun berturut-turut. Universiti itu meningkat sebanyak 41 tempat pada tahun lalu. Sejak tahun 2013, UPM telah meningkatkan 182 tempat yang mengejutkan dari kedudukan ke-411 pada tahun tersebut kepada 229 pada tahun ini.

UKM juga tidak kurang hebatnya apabila menunjukkan peningkatan terbaik dalam 12 bulan lalu dengan 72 tempat manakala UTM pula memperbaiki kedudukan ke-102 sejak tahun 2013. Tidak ketinggalan USM turut mengukir kejayaan dengan penambahbaikan kedua terbaik iaitu sebanyak 66 tempat sejak tahun lalu dan 91 tempat sejak 2013.

Kejayaan lima universiti penyelidikan negara bukanlah satu kebetulan. Inisiatif kerajaan dalam satu dekad sejak tahun 2007 itu merupakan hasil daripada komitmen dan pelaburan kerajaan dalam pendidikan tinggi di samping kerjasama kukuh yang disumbangkan oleh pasukan pensyarah dan penyelidik selain Kementerian Pendidikan Tinggi.

Di samping pencapaian dari segi peningkatan kedudukan, sistem pendidikan tinggi negara turut menunjukkan peningkatan baik dari segi hasil penyelidikan, paten yang didaftarkan, produk yang dikomersialkan dan kerjasama industri yang lebih besar.

Sebanyak 11 subjek yang ditawarkan oleh empat universiti di Malaysia ditempatkan dalam 50 teratas dunia menurut QS World University Ranking dalam ka­tegori subjek. Ahli-ahli akademik universiti-universiti di negara ini telah diiktiraf sebagai ‘Berfikiran Saintifik Paling Berpengaruh di Dunia’ antara tahun 2014 dan 2016.

Bagi manfaat masyarakat dan negara, kerajaan kini memberi tumpuan dalam menterjemahkan setiap hasil penyelidikan supaya ia tidak hanya tertulis di atas kertas. Komitmen itu turut dinyatakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa kejayaan universiti tempatan digolongkan dalam kelompok terbaik dunia bukan hanya memberi kebaikan kepada sektor pendidik­an negara tetapi turut membawa manfaat kepada rakyat khususnya masyarakat di luar bandar.

Katanya, semakin baik ke­dudukan universiti tempatan dalam kelompok dunia, semakin berkualiti inovasi yang berjaya dihasilkan sekali gus membantu memudahkan kehidupan rakyat.

10.5x4