Terdahulu, universiti itu melonjak sembilan anak tangga daripada kedudukan ke-23 selepas tersenarai sebagai salah sebuah 'universiti muda' sejak 2016 dalam ranking yang dikenali sebagai 'QS Top 50 Under 50' itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail berkata, kejayaan berada dalam kelompok 14 teratas merupakan pencapaian terbaik universiti tersebut setakat ini.

Beliau berkata, peningkatan ketara itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak universiti dalam memastikan penambahbaikan terhadap amalan dasar dan fundamentalnya sejajar dengan usaha menjadikan USM sebagai universiti pilihan.

"Kami percaya bahawa ini merupakan pencapaian yang amat baik, sekaligus membuktikan komitmen yang telah diberikan oleh semua staf universiti termasuk staf akademik dan pentadbiran serta alumni dan pemegang taruh universiti.

“Pada masa yang sama, kami juga sedar tentang wujudnya persaingan sengit dan keperluan bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang bermakna kepada pelajar serta persekitaran yang kondusif dalam menjalankan penyelidikan berimpak tinggi,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Asma, sepanjang tahun ini juga, USM telah mencipta pelbagai kejayaan dalam pelbagai bidang.

Terbaharu katanya, kejayaan pensyarah muda, Dr. Khayriyyah Mohd Hanafiah dinobatkan sebagai juara ‘Komunikator Sains Terbaik Dunia’ di pertandingan antarabangsa FameLab International 2018, baru-baru ini.

Selain itu, kata Asma, lima orang saintis muda dari USM turut terpilih mewakili negara bersama seorang saintis tempatan lain di Nobel Laureate Meeting ke-68 di Lindau, Jerman yang berlangsung dari 24 hingga 29 Jun ini.

“Kejayaan ini menunjukkan bahawa kita telah melakukan persediaan dengan baik dan berada dalam landasan yang betul dan jika diberi peluang, saya yakin bahawa Malaysia akan menjadi negara yang lebih dominan lagi dalam pendidikan tinggi,” ujar beliau.

Sementara itu, berdasarkan senarai terkini Ranking Universiti Dunia QS 2019 (QS-WUR 2019) yang diumumkan awal bulan ini, USM melonjak sebanyak 57 anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-207 keseluruhan berbanding kedudukan ke-264 pada tahun sebelumnya. - UTUSAN ONLINE