Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq berkata, rangka tindakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran, mempromosi serta membincangkan rangka tindakan yang bakal menentukan hala tuju pembangunan sosio­ekonomi di empat buah negeri di bawah NCER.

Menurutnya, berpaksikan tema ‘Pertumbuhan Berteraskan Ke­saksamaan Sosial’, pelan Blueprint 2.0 ini bakal menjana pembangunan ekonomi yang mampan serta inklusif dalam negeri Perak.

Katanya, ia dilaksanakan me­la­­lui pembinaan industri baharu, pelaburan dalam pembangunan modal insan serta mewujudkan suasana pekerjaan dan keusahawanan yang strategik.

‘‘Wilayah-wilayah ekonomi perlu menyesuaikan diri untuk berhadapan dengan perubahan serta cabaran semasa.

‘‘Kebajikan penduduk, kesaksamaan sosial serta pengurangan sumber asli yang ketara harus diutamakan dalam setiap perbincangan mengenai pembangunan berbanding kemegahan infrastruktur serta nilai kewangan.

“Perubahan dunia sangat ke­ta­ra sejak beberapa abad kebelakangan ini dan wilayah-wilayah ekonomi perlu bergerak pantas, kreatif serta kukuh bagi mena­ngani kehendak masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Rangka Tindakan Pembangunan NCER 2016-2025 di sini hari ini.

Pelancaran dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir. Turut hadir Penasihat Khas NCER kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Pelancaran peringkat negeri yang berlangsung di sini hari ini merupakan sebahagian daripada jelajah NCIA di keempat-empat buah negeri di utara di bawah NCER.

Menurut Redza, berinspirasikan Model Ekonomi Baharu (NEM), Blueprint 2.0 menggariskan 80 projek strategik yang akan memacu pertumbuhan ekonomi merentasi empat negeri di utara.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Kedah disasarkan untuk mencapai RM300 billion pada tahun 2030.

Katanya, daripada jumlah itu, tujuh projek berimpak tinggi yang diklasifikasikan sebagai Nod-nod Pertumbuhan telah dikenal pasti iaitu dua daripadanya terletak di Perak, iaitu Greater Kamunting Conurbation (GKC) dan Manjung-Aman Jaya Maritime City. 

‘‘Inisiatif ini merupakan usa­ha untuk meluaskan manfaat ekonomi kepada kawasan-kawasan yang menjadi keutamaan di Perak dengan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mening­katkan kemampanan melalui komponen-komponen sosio­­e­konomi dan fizikal,’’ katanya.