Ini merupakan mahkamah pertama seumpamanya di Malaysia dan Asia Tenggara yang dapat mempercepat dan melancarkan semua prosiding serta perbicaraan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak dengan kes pertama yang akan dikendalikan berkaitan jenayah rogol pada 4 Julai ini.

Menurut Perdana Menteri, mahkamah itu akan memberi tumpuan kepada kes seperti pornografi, pengantunan kanak-kanak (child grooming) dan serangan seksual selaras dengan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat ini.

Beliau menyarankan agar satu garis panduan khas untuk me­ngendali kes-kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak dirangka dalam tempoh masa terdekat ini.

Untuk itu katanya, sebuah jawatan kuasa kerja yang melibatkan pihak mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kanak-kanak termasuk Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) perlu diwujudkan untuk merangka garis panduan khas itu.

“Garis panduan khas itu perlu menepati kehendak dan keperluan saksi kanak-kanak serta selaras dengan amalan terbaik yang dilaksanakan di negara-negara lain di dunia. Untuk itu saya mahukan sokongan dan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman politik bagi memastikan Akta Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dapat dilaksa­nakan secara berkesan,” katanya.

Majlis perasmian mahkamah itu turut dihadiri isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Yayasan PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Hakim Negara, Tan Sri Raus Sharif; Peguam Negara, Tan Sri Moha­med Apandi Ali; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Jelas Perdana Menteri, mah­kamah khas itu akan dikendalikan oleh seorang Hakim Kanan Mahkamah Sesyen yang berpe­ngalaman luas selain mempu­nyai pendakwa raya yang memiliki kepakaran khusus dalam jenayah seksual kanak-kanak.

“Dengan adanya mahkamah ini saya berharap kes-kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat diselesaikan secepat mungkin, seboleh-bolehnya kurang dari satu tahun berbanding sekarang yang adakala kes-kesnya berlarutan sehingga beberapa tahun.

“Dalam kes kanak-kanak, kalau kita lihat keadaannya unik. Mi­salnya ketika kanak-kanak berumur 16 tahun menghadapi pende­raan seksual dan kes berpanjangan sehingga berumur 18 tahun ke atas, dia sudah menjadi dewasa dan bukan juvana, rasa untuk memberi keterangan sudah tiada. Sebab itu signifikan untuk mempercepatkan kes didengar dan di­selesaikan,” katanya.

Buat permulaan Najib berkata, Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak itu akan mendengar kes-kes yang berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Insya-Allah, penubuhan mah­kamah ini nanti akan kita perluaskan secara berperingkat ke semua 13 negeri di seluruh Malaysia,” katanya.