Perkara itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa.

"Alhamdulillah, dengan menyambung usaha untuk menggubal rang undang-undang berkenaan yang telah dibuat sejak 1995, akhirnya ia akan digubal dan dibawa ke Parlimen pada Mac ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mujahid menjelaskan, ketika ini undang-undang yang digunakan adalah Kaedah-kaedah Peguam Syarie 1993 manakala bagi negeri-negeri pula adalah kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan peguam syarie yang dibuat melalui enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri atau enakmen Mahkamah Syariah negeri-negeri.

Ekoran ketidakseragaman dan ketidakselarasan amalan undang-undang antara negeri-negeri lain, kata beliau, rang undang-undang berkenaan akan menjadi model bagi penyeragaman undang-undang profesion guaman syarie di negeri-negeri.

Usaha untuk memartabatkan institusi perundangan syariah dan profesion guaman syarie itu tegasnya, akan dapat menyelaraskan dan menyeragamkan pelbagai bentuk undang-undang yang berkuat kuasa pada masa ini tertakluk kepada peruntukkan dalam Perkara 76(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Diharapkan, dengan penggubalan tersebut ia menjadi satu langkah untuk memartabatkan institusi perundangan syariah dan profesion guaman syarie di negara ini," katanya. - UTUSAN ONLINE