ABU KASSIM MOHAMED
ABU KASSIM

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, penubuhan NFCC merupakan usaha berterusan kerajaan dalam membanteras jenayah kewangan secara menyeluruh.

Beliau berkata, NFCC yang diketua oleh Datuk Seri Mustafar Ali mempunyai bidang kuasa lebih besar akan memastikan usaha menangani jenayah kewangan seperti pengubahan wang seacata haram oleh pelbagai agensi dilakukan secara lebih tersusun.

Katanya, jalinan kerjasama pintar dalam menangani jenayah kewangan dan rasuah merupakan pendekatan yang bakal dilaksanakan di bawah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Januari ini.

"NFCC setakat ini dianggotai oleh 20 agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Bank Negara Malaysia," katanya dalam sesi taklimat media mengenai NACP di sini hari ini.

Menurut Abu Kassim, ketika ini agensi penguatkuasaan sering berdepan masalah dalam menangani kes-kes jenayah seperti penyeludupan rokok dan barangan kontraban yang berada di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Pun begitu, dengan penubuhan NFCC kelak, pusat itu boleh melihat pelbagai kemungkinan lain yang wujud termasuk jenayah rasuah dan pengubahan wang yang mungkin turut berlaku.

"Di sini peranan Bank Negara Malaysia dan MACC untuk mengesan jenayah terbabit tanpa menjejaskan peranan Jabatan Kastam. Tidak akan berlaku pertindihan kuasa," jelasnya. - UTUSAN ONLINE