Timbalan Perdana Menteri memberitahu, mesin pengimbas yang direka melalui penyelidikan dan pembangunan Kementerian Keselamatan Awam China itu berupaya mengesan barangan yang cuba diseludup masuk atau keluar termasuk dadah dan senjata api.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menjelaskan, pihak berkuasa China telah menggunakan peralatan tersebut sejak empat tahun lalu di semua pintu masuk dan kawasan sempadannya.

“Secara dasarnya, mereka bersetuju untuk membekalkan mesin pengimbas ini kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid menambah, beliau juga akan berbincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri T. Subromaniam berhubung kesesuaian untuk memasang mesin pengimbas tersebut di semua pintu masuk negara.

“Perkara ini bergantung kepada persetujuan JKDM dan Kementerian Kewangan. Kita mulakan dengan PDRM dahulu,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, sebanyak 416 warga China telah dihantar pulang mulai 2014 hingga Jun lalu kerana terlibat dalam ke­giatan penipuan perjudian dalam talian Macau scam dan mereka kini menjalani hukuman penjara di negara tersebut.

Menurut beliau, secara keseluruhan, nilai kerugian yang dianggarkan akibat kegiatan itu adalah kira-kira RM500 juta dengan melibatkan mangsa di kedua-dua negara.

“Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Parti Komunis China, Meng Jianzhu serta Menteri Keselamatan Awam China, Guo Sheng Kun memberikan setinggi-tinggi pujian kepada Malaysia atas langkah-langkah yang diambil PDRM untuk menjejaki dan menghantar mereka yang melakukan jenayah perjudian itu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid memberitahu, setakat ini, Malaysia telah menghantar pulang sebanyak 29 warga China yang disyaki terlibat dengan kumpulan militan Daesh untuk diletakkan di bawah tahanan pihak berkuasa di negara tersebut.

“Mereka memasuki Malaysia melalui negara-negara jiran de­ngan menggunakan pasport palsu dari negara ketiga dan juga maklumat palsu.

“Namun, hasil data biometrik yang diberikan oleh pihak polis China kepada PDRM, kita dapat menahan mereka sama ada sebelum mereka berlepas di pintu-pintu keluar darat atau laut dan juga termasuk beberapa jejakan yang dilakukan Unit Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid menyatakan penghargaan Malaysia kepada China kerana bantuan berterusan yang diberikan kepada Counter Messaging Centre (CMC).

“Mereka juga mempunyai beberapa peralatan tambahan untuk memperkukuhkan CMC bagi kita terus menjejaki mereka yang terlibat dengan kegiatan-kegiatan keganasan,” jelasnya.

Beliau berkata, penjejakan dilakukan antaranya terhadap individu-individu yang membiayai kegiatan keganasan atau merancang untuk melakukan serangan di Malaysia, selatan Thailand atau selatan Filipina. – Utusan