Walaupun agak pelik namun masalah yang kini sudah menjadi realiti itu didapati boleh berlaku berpunca daripada faktor kecuaian dan penipuan selain aspek teknikal dimanipulasi pihak tertentu dalam usaha menukarkan hak milik tanpa disedari pemilik asal.

Malah perkara itu diakui Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd. Sukor yang turut menyifatkan banyak mangsa terlibat terpedaya taktik penipuan, desakan termasuk salah nyata (diputar belit)

Menurutnya, apabila ia berlaku, ada di antara tuan tanah menandatangani dokumen pindah milik dan menyerahkan geran tanah asal dan lain-lain dokumen berkaitan kepada pihak tersebut dengan tujuan bagi mereka menguruskan atau menjalankan aktiviti lain dan bukannya untuk dijual.

“Selain itu, wujud juga pemalsuan tandatangan tuan tanah pada dokumen pindah milik ataupun pemalsuan geran tanah atau lain-lain dokumen berkaitan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyebabkan proses pertukaran hak milik dapat didaftarkan kepada pihak-pihak tertentu.

“Terdapat juga keadaan di mana tuan tanah memberikan surat kuasa wakil penuh (Full PA) kepada pihak-pihak tertentu sama ada secara mereka faham dan sedar atau tidak faham dan tidak sedar, sehingga memberi kuasa kepada pemegang wakil kuasa tersebut untuk memindah tanah itu kepada pihak lain,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menafikan ada di antara tanah yang bertukar nama disebabkan kegagalan tuan tanah asal yang gagal membayar cukai tanah dan melanggar apa-apa syarat nyata pada tanah tersebut seperti membina bangunan komersial atas tanah pertanian dan sebagainya.

Menurutnya, pihak berkuasa negeri melalui pejabat tanah boleh merampas tanah tersebut di bawah peruntukan Seksyen 100 dan Seksyen 130 Kanun Tanah Negara dan tanah tersebut dianggap kembali menjadi milik kerajaan. Kerajaan seterusnya berhak menyerahkan tanah tersebut kepada pihak lain.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pemilik tanah sentiasa mengemas kini atau menyemak status pemilikan tanah dengan membuat carian rasmi di pejabat tanah dari semasa ke semasa.

Salkhukairi berkata, ini kerana walaupun mungkin mereka masih menyimpan geran asal tanah mereka, tidak mustahil tanah mereka mungkin boleh terlepas ke tangan pihak lain melalui cara pelbagai cara tanpa mereka sedari.