Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berdasar maklum balas yang diperoleh NIOSH, amalan KKP yang baik dalam kalangan warga media masih berada pada tahap minimum dan banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka mengenai aspek KKP.

 “Lebih mendukacitakan apabila pihak majikan menganggap aspek KKP ini sebagai isu remeh-temeh dan tidak bersungguh-sunguh untuk menjadikannya sebagai amalan di organisasi masing-masing.

“Amat malang apabila ada antara pihak pengurusan atasan yang menyatakan dengan perasaan bangga bahawa ‘wartawan dan jurukamera kami masih sihat dan selamat’ walaupun mereka tidak mengikuti sebarang program KKP berkaitan,” katanya pada program ‘Occupational Safety and Health (OSH) for Media’ di Ibu Pejabat NIOSH Wilayah Selatan, di sini sebentar tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengurus Kanan (Bahagian Latihan, Pendidikan dan Pejabat Wilayah) NIOSH Wilayah, Saupi Nazri Mamat.

Lam Thye berkata, insiden tragis yang melibatkan jurukamera Bernama TV, Allahyarham Noramfaizul Mohd. Nor yang meninggal dunia semasa bertugas membuat liputan di Somalia pada tahun 2011 contohnya, menunjukkan kepentingan KKP dalam kalangan petugas media. - UTUSAN ONLINE