Presiden Persatuan Pengguna-pengguna Pengangkutan Awam Malaysia, Ajit Johl (gambar) berkata, keputusan membatalkan projek pengangkutan awam mega baru-baru ini sewajarnya disusuli dengan usaha mencari penyelesaian alternatif bagi meningkatkan per­­khidmatan pe­ngang­kutan awam, bukannya dengan mencadangkan projek kereta nasional kedua.

Katanya, projek itu adalah langkah regresif yang akan hanya mengheret Malaysia 30 tahun ke belakang dengan pelbagai masalah yang harus ditanggung oleh rakyat.

“Kerajaan membatalkan projek pengangkutan awam yang terlalu mahal tetapi menyuarakan pula idea kereta nasional kedua. Kerajaan meminta rakyat berjimat cermat dan memotong perbelanjaan, tetapi mahu menggalakkan rakyat membeli kenderaan yang merupakan aset yang menyusut-nilai. Di manakah rasionalnya?”

“Sudah berapa kali kerajaan terpaksa menyelamatkan kereta nasional terdahulu? Pinjaman diberikan kepada kakitangan awam untuk membeli kereta Proton dan teksi pula dipaksa menggunakan kereta Proton yang mana merupakan salah satu penyebab utama kepada kegagalan industri teksi. Kita nampaknya sedang bergerak 30 tahun ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Dr. Mahathir memberi bayangan akan melancarkan satu lagi projek kereta nasional bagi menggantikan Proton yang kini sebahagian besar ekuitinya dimiliki oleh syarikat asing.

Tambah Ajit, jualan kereta yang terus menurun menjadi petunjuk jelas bahawa rakyat kini sudah semakin bijak dengan beralih kepada pengangkutan awam sebagai pilihan yang jauh lebih mudah, murah dan jimat.

“Semakin banyak kende­raan bermakna kerajaan terpaksa meningkatkan peruntukan untuk subsidi minyak bagi mengekalkan harga minyak. Adakah ini sebabnya kerajaan ingin menghapuskan semua subsidi tol?” soalnya.

Tambah Ajit, beliau berharap agar kerajaan tidak meneruskan projek itu kerana rakyatlah yang akan menanggung kesan paling buruk daripada pelaksanaannya kelak.