Penduduk berkumpul di hadapan Istana Presiden Singapura untuk melihat jasad Kuan Yew dibawa masuk ke dalam kawasan kompleks itu sempena majlis peringatan tertutup untuk keluarga, sebelum beliau disemadikan.

Mereka melaungkan “Encik Lee, encik Lee, terima kasih encik Lee Kuan Yew” ketika kereta berwarna putih membawa jasadnya memasuki Istana Presiden.

Di pintu masuk istana, kelihatan sebahagian penduduk Singapura, ada yang menangis mengambil ke­sempatan meletakkan jamba­ngan bunga dan hadiah-hadiah serta menurunkan tandatangan pada papan ucapan takziah.

Sebelum itu, beratus-ratus penduduk tempatan meletakkan kalu­ngan bunga, kad, dan kain rentang tertera perkataan `wira kami’ di luar Hospital Besar Singapura yang mana Kuan Yew diberi rawatan sebelum meninggal dunia awal pagi ini.

Akhbar The Straits Times me­laporkan, seorang penduduk Tanjung Pagar, P. Pusparani, 57, berkata, dia berasa sedih apabila melihat kereta yang membawa jasad Kuan Yew.

“Apabila saya melihat keranda itu, saya berasa terlalu sedih. Saya terfikir ini adalah kali terakhir beliau akan memasuki istana,” katanya.

Laman web Channel News Asia melaporkan, seorang peguam, Sharon Tan, 39, membawa anaknya, Ryan Mackey ke istana untuk memperingati sumbangan Kuan Yew kepada negara ini.

“Kuan Yew merupakan sebahagian daripada hidup rakyat Singapura,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Maureen Teo, 55, berkata, dia bersama-sama keluarganya terhutang budi dengan Kuan Yew kerana menyedia­kan lesen perniagaan gerai kepada ayahnya pada 1969.

“Sebelum ini, ayah saya sering dihalau kerana berniaga secara ha­ram. Kuan Yew sangat baik dengan ayah saya dan memujinya kerana menyara 13 anak. Tanpa beliau, keluarga kami mungkin tidak akan berada di sini hari ini,” katanya. – AFP/REUTERS/AGENSI