Pra perhimpunan yang sedang berlangsung malam ini di Dataran Medan Selera Wira Damai, Gombak dekat sini mengumpulkan barisan kepemimpinan UMNO dan Pas serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di atas satu pentas bagi menunjukkan kesepaduan masyarakat mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Seorang mahasiswa, Siti Najwa Malik, 25, sanggup datang dari Dungun, Terengganu dan bersemangat untuk menghadiri perhimpunan #DaulatHimpunan812.

"Saya hadir perhimpunan esok kerana ingin menunjukkan semangat dan sayang kepada negara yang aman ini supaya tidak diganggu pada masa akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam ini.

Dalam pada itu, pemandu teksi, Abu Bakar Mohd Talib, 68, berkata, himpunan esok bukanlah untuk diri sendiri tetapi untuk menjaga hak orang Melayu dan agama Islam bagi pihak cucu-cucunya.

"Kalau bukan saya, siapa lagi yang boleh menjaga hak agama dan bangsa cucu-cucu saya nanti apabila semua mengamalkan kononnya hak sama rata itu," katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Mohd. Fadil Mohd. Lazim, 40, berkata, perkara-perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah hak istimewa orang Melayu tidak sepatutnya dipermainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - UTUSAN ONLINE