Tuanku Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, justeru itu rakyat Malaysia mestilah sentiasa bersyukur kerana masih dapat hidup dalam suasana baik dan sama-sama menghindarkan daripada berlaku sebarang krisis perpaduan.

"Oleh itu marilah kita mengambil kesempatan dari tarikh penting bagi pelbagai kaum seperti sambutan menyambut Tahun Baru Cina pada hari ini untuk membina hubungan baik antara kaum di negara ini," titah baginda.

Demikian titah Raja Muda Perlis selepas berkenan berangkat mencemar duli menghadiri majlis sambutan rumah terbuka sempena Tahun Baru Cina yang diraikan oleh Tan Chong Group yang di sini hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengerusinya, Datuk Tan Heng Chew dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rosie Tan.

Turut berangkat ialah anakanda-anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Tuan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Pada kesempatan yang sama baginda turut berkongsi pengamatan baginda tentang tuah masyarakat Cina sebenarnya terarah kepada sikap rajin dan kesungguhan mereka dalam usaha khususnya perniagaan.

Disebabkan itulah, titah baginda, masyarakat di negara ini perlu mengambil pakai nilai-nilai baik masyarakat Cina untuk diamalkan dan bukan sekadar untuk menikmati makanan Cina ataupun memakai baju ala kaum berkenaan semata-mata. - UTUSAN ONLINE