Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada waktu ini kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membayar hutang yang tinggi dan semua pihak diminta bersabar.

Katanya, jika kerajaan berjaya menyelesaikan hutang berkenaan, pendapatan negara juga akan dapat dipertingkatkan dan akan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

“Saya harap kita boleh bersabar, insya-Allah! kalau kita boleh bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram, maka kita akan dapat pulihkan kewangan dan pembangunan negara kita. Hari ini, kita telah berjaya mengurangkan sedikit hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu.

“Tetapi untuk menghapuskan hutang sebanyak lebih RM1 trilion, seluruh rakyat termasuk kerajaan dan anggota kerajaan perlu ikat perut sikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan kita bayar hutang.

“Walaupun kita bermasalah, tidak sampai peringkat kebuluran. Kita sebuah negara aman, boleh pulih dengan lebih cepat. Di Asia Barat, negara mereka termusnah dan satu bilion daripada rakyat mereka akan mati kelaparan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Tambah Perdana Menteri, jika tidak ada tentangan daripada rakyat terutamanya penjawat awam dan ahli-ahli CUEPACS, negara ini akan pulih semula dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, banyak rancangan yang dibuat kerajaan untuk mengatasi masalah pentadbiran daripada kerajaan terdahulu yang didakwanya mencuri wang rakyat dan negara.