Mengikut gambar dikongsikan dalam beberapa akaun laman Twitter seperti MalaysiaInvasion_my, ucapan terima kasih turut dinyatakan menerusi sepanduk yang tertulis 'Terima kasih Malaysia kerana berpendirian menentang hubungan dengan apa yang dipanggil Israel'.

Memetik laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), pada Sabtu dan Ahad lalu, rakyat Palestin meraikan sokongan terhadap Malaysia dengan memasang bendera negara dan sepanduk di stadium pasukan bola sepak Palestin, yang dibom Israel pada tahun 2006.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran, pemasangan bendera dan sepanduk itu merupakan tanda sokongan dan rasa bangga rakyat Palestin terhadap Malaysia.

“Pendirian Malaysia diterima baik oleh Palestin, terutama di Gaza,” katanya kepada FMT yang disiarkan hari ini.

Tambahnya, rakyat Palestin turut menggunakan tanda pagar #supportMalaysia ketika menggunakan pelbagai platform laman media sosial.

Pada 10 Januari lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan Malaysia tidak membenarkan atlet Israel hadir ke negara ini bagi bertanding dalam Kejohanan Renang Para Dunia 2019 di Kuching, Sarawak yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos depan.

Keputusan itu membuatkan jurucakap Kementerian Luar Israel menuduh Malaysia tidak mempunyai semangat kesukanan Olimpik selain melabelkan Dr. Mahathir sebagai anti-Yahudi.- UTUSAN ONLINE