Menurut Perdana Menteri, se­gala manfaat yang disediakan itu adalah mengikut kemam­puan semasa kerajaan.

Sebagai contoh, katanya, ke­rajaan baru-baru ini mengumumkan pakej untuk peneroka Felda, insentif kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pelbagai lagi usaha lain akan dilaksanakan pada masa akan datang.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita akan melakukan yang terbaik untuk rakyat tetapi tidak boleh menjanjikan benda-benda tidak masuk akal yang lazimnya dijanjikan pembangkang sebagai gula-gula untuk menyukakan hati rakyat tetapi kita tahu tidak mampu dilakukan oleh mana-mana kerajaan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai perancang­an kerajaan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020 ketika sesi soal jawab lisan dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menjawab soalan asal Ahmad, Najib menjelaskan, kerajaan sedang melaksanakan rancangan bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, namun pencapaian sepenuhnya bergantung kepada persekitaran dalaman dan luaran yang kondusif.

Jelasnya, kerajaan boleh me­­lakukan perkara-perkara yang dalam kemampuan dan kawalan iaitu faktor domestik, namun harus berdepan faktor-faktor luar kawalan seperti harga mi­nyak, dasar-dasar negara maju termasuk risiko geopolitik sehingga memberi kesan kepada nilai mata wang negara.

Walau bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan berusaha me­laksanakan segala yang mampu dilakukan dalam kawalan se­perti meningkatkan produktiviti negara daripada 3.7 peratus kepada lebih empat peratus serta menambah pelaburan infrastruktur seperti pembinaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang dijangka kadar pertumbuhan negeri-negeri di Pantai Timur meningkat 1.5 peratus.

“Kita juga perlu meningkatkan inovasi, mengkaji kadar gaji minimum dari semasa ke semasa dan kita mesti tentukan juga bahawa negara ini mesra pelabur kepada pihak dalam dan luar negara, membangunkan ekonomi digital yang dirancangkan. Ini semua kita akan teruskan dan diperhebatkan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, pe­lan ekonomi kerajaan yang berpandangan jauh serta langkah pro­aktif dalam melaksanakan keputusan penting telah membina da­ya tahan ekonomi negara untuk menghadapi cabaran luar.

Najib menjelaskan, ini terbukti apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini yang disokong terutamanya oleh perbelanjaan swasta dengan mencatat pertumbuhan dua angka iaitu sebanyak 12.9 peratus, manakala penggunaan swasta me­ningkat 6.6 peratus.

Ujar beliau, Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita negara terkini telah meningkat kepada AS$9,850 (RM42,231) serta prestasi negara yang dapat mengurangkan jurang ke sasaran pendapatan tinggi daripada 38 peratus kepada 19 peratus sekali gus membuktikan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan secara konsisten menerusi Model Ekonomi Baharu sejak 2010 berupaya mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan.

“Pelbagai inisiatif kejayaan ini ternyata menyangkal tohmahan ko­nonnya Malaysia adalah sebuah negara gagal, sebalik­nya kerajaan telah menyediakan Pelan Transformasi Nasional untuk mengangkat negara me­nuju status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.