Antaranya Masjid Kunda, Masjid Ngombeni, Madrasah Tiwi, Nur Huda Madrasah Kinango, Tawheed Islamic Centre, Anwar Muslim Academy, Masjid Kiteje, Madrasah Kiteje dan Masjid Nzora.

Sumbangan tersebut merupakan hasil Kempen 1,000 Naskhah Al-Quran yang dilancarkan oleh Malaysian Humanitarian Aid and Relief (Mahar) bersama MYCorps Misi Afrika (MYCorps Afrika) menerusi media sosial, bulan lalu.

Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, pihaknya menggerakkan kempen berkenaan selepas menerima laporan daripada MYCorps Afrika memaklumkan keadaan di Madrasah Irshad, Kwale yang mana kira-kira 400 murid terpaksa berkongsi sebuah mashaf untuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran.

“Pada mulanya kami hanya bercadang untuk membantu madrasah tersebut. Apabila dimaklumkan banyak lagi madrasah, pusat pembelajaran dan masjid yang memerlukan kitab suci tersebut, kami membuka peluang kepada rakyat Malaysia yang ingin turut menyumbang.

“Selepas ini, Mahar akan melancarkan Kempen 10,000 Al-Quran selama setahun. Al-Quran yang dibeli menerusi inisiatif ini akan dihantar kepada umat Islam di negara-negara dunia ketiga dan yang memerlukan di seluruh dunia,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu lagi, daripada Kempen 1,000 Naskhah Al-Quran tersebut, lebih RM40,000 dikumpulkan dan dengan jumlah tersebut, lebih 4,000 naskhah al-Quran dibeli.

Selain Kenya, beberapa penerima dari negara-negara berdekatan turut mendapat sumbangan al-Quran tersebut seperti di Zanzibar dan Tanga, Tanzania; Uganda serta Turkana. - UTUSAN ONLINE