Tokoh pentadbiran awam, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, beliau kecewa dengan Paul yang mahu menubuhkan jabatan itu sedangkan kerajaan mempunyai banyak agensi yang mempunyai peranan sama dalam memantau soal integriti pentadbiran awam termasuk SPRM.

Beliau berkata, Paul kini wajib memberi penjelasan kepada rakyat tentang logik penubuhan jabatan itu yang bakal menggunakan duit rakyat.

“Saya kecewa dengan Paul ke­rana beliau merupakan timbalan saya sewaktu menjadi Presiden Transparency International Malaysia. Apakah yang berlaku kepadanya setelah menyertai kerajaan (untuk menubuhkan JITN)? Amat menyedihkan apabila SPRM yang diterajui Tan Sri Dzulkif­li Ahmad setahun lalu, kini mahu ditubuhkan pula jabatan yang pe­ranannya sama dimainkan SPRM.

Paul perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana JITN akan menggunakan duit negara dan menjelaskan bagaimana JITN berbeza dengan agensi sedia ada yang lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, Low mencadangkan penubuhan JITN sebagai satu daripada usaha menerajui transformasi perubahan bagi membina kapasiti ins­titusi terutama dalam kalangan penjawat awam, namun ditolak SPRM kerana ditafsirkan bertindih dengan peranan suruhanjaya tersebut.

Ramon berkata, SPRM yang kini diterajui Dzulkifli sedang me­nunjukkan prestasi terbaik dengan bertindak tegas dalam menguatkuasakan undang-undang membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

“Penubuhan JITN akan menrencatkan monumen SPRM ketika ini dan sudah tentu mengecewakan rakyat yang mahu melihat lebih ramai individu melakukan rasuah dan salah guna kuasa ditangkap,” katanya.

Sementara itu, Naib Penge­rusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, penubuhan JITN akan menyebabkan Malaysia mempunyai lambakan agensi kerajaan yang bertujuan membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

“Kenapa perlu tubuhkan satu lagi jabatan atau agensi kerajaan, walhal peranan JITN itu boleh dimainkan SPRM dan beberapa lagi agensi iaitu Institut Integriti Malaysia dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.

“Apabila rakyat sering diingatkan supaya hidup secara sederhana dan berjimat cermat, kerajaan juga boleh menunjukkan komitmen sama dengan tidak perlu membazir untuk menubuhkan jabatan kerajaan baharu,” katanya.