Pesara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Jamil Osman, 79, berkata, beliau bersama adiknya mengambil keputusan untuk pulang ke Kedah sebaik menerima perkhabaran kemangkatan Sultan Kedah.

“Apabila menerima berita kemangkatan Tuanku Abdul Halim, kami segera mengambil penerbangan dari Kuala Lumpur bagi memberi penghormatan terakhir kepada baginda hari ini.

“Pukul 4 pagi tadi kami bertolak dari Kuala Ketil dan sampai di sini pada kira-kira pukul 7.30 pagi. Pemergian Almarhum Tuanku Abdul Halim adalah kehilangan besar terutamanya kepada rakyat Kedah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rakyat daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa mula memasuki Balai Penghadapan pada pukul 11 pagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Almarhum Tuanku Abdul Halim.

Rakyat jelata dipeluang memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum bermula 11 pagi hingga 12.30 tengah hari diikuti golongan kenamaan pada 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang di ruang bersemayam di Balai Penghadapan Istana Anak Bukit.

Pengiringan jenazah Almarhum dari Istana Anak Bukit ke Makam Diraja Langgar dijadual bermula 2 petang dan istiadat dijangka selesai menjelang solat Asar.

Sementara itu, peniaga, Rozali Zainul Abidin, 44, menyifatkan rakyat Kedah kehilangan pemimpin beribawa yang banyak membantu golongan susah di negeri ini.

“Ramai anak orang susah yang terbela nasibnya kerana Almarhum Tuanku Abdul Halim... malah, kita boleh lihat bagaimana baginda membantu anak orang susah iaitu Shaaban Hussin sehingga menjadi pemain golf negara.

“Sebagai rakyat, saya menyanjung kewibawaan baginda memerintah negeri ini,” ujarnya yang tiba sejak pukul 9.30 pagi di pekarangan Istana Anak Bukit di sini.

Bagi pesara, Pretam Singh Santa Singh berkata, selama ini dia tidak pernah melepaskan peluang untuk menghadiri mana-mana majlis melibatkan kehadiran Almarhum Tuanku Abdul Halim.

“Hari ini, saya juga tidak mahu ketinggalan untuk memberi penghormatan terakhir kepada baginda... ini kerana baginda adalah seorang raja berjiwa rakyat.

“Malah baginda melayan semua rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa secara adil dan saksama. Apabila mendapat berita kemangkatan baginda, saya berasa sangat sedih,” katanya. - UTUSAN ONLINE