Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, semua pihak perlu memberi pertimbangan yang sewajarnya mengenai cadangan itu termasuk mengambil kira pandangan mereka yang dihadapkan ke mahkamah.

“Itu cadangan yang bagus kerana ada gambar dan sebagainya namun, kita kena memberi pertimbangan sewajarnya kerana mungkin ada sesetengah OKT suka dan ada OKT yang tidak suka dengan cadangan itu.

“Bagi kes berprofil tinggi, apa yang kita buat ialah maklumat disalurkan kepada media agar rakyat mengetahui perkembangan prosiding setiap kes,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pembukaan Tahun Perundangan 2019 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, Peguam Negara, Tommy Thomas, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri David Wong Dak Wah.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai cadangan agar rakaman kamera digunakan bagi kes berprofil tinggi dan berkepentingan umum di mahkamah supaya orang awam boleh menonton prosiding berkenaan. - UTUSAN ONLINE