Beliau yang berada di Malaysia dari 2 sehingga 21 November 2015 dan menyambung semula penggambaran filem pada 1 Februari lalu, dihantar pulang dengan diiringi pengawal keselamatan dan pihak polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang ini.

Penerbit bersama dan pengedar rasmi filem Kabali, Datuk Abdul Malik Dasthigeer bagaimanapun berkata, krew penggambaran yang lain hanya akan pulang pada 20 Februari ini (Sabtu ini) kerana terdapat beberapa adegan filem yang perlu disiapkan.

“Hampir 80 peratus penggambaran filem Kabali dijalankan di negara ini dan selebihnya di Chennai dan Thailand yang melibatkan kos perbelanjaan kira-kira RM70 juta.

“Filem ini dijangka ditayangkan pada bulan Mei ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini

Sabtu lalu, Rajinikanth buat pertama kali merasmikan Wisma Malik milik Malik Streams Corporations Sdn. Bhd. di Jalan Tun Tan Siew Sin dengan kehadiran kira-kira 1,000 peminat yang mahu melihat pelakon popular itu lebih dekat.

Beliau yang tidak pernah menyokong sebarang produk mahupun terlibat dalam mana-mana majlis perasmian komersial di India, tiba pada pukul 8 malam dan disambut dengan paluan kompang.

Kehadiran pelakon legenda selepas hampir lima tahun ke Malaysia mendapat perhatian pelbagai masyarakat sehingga beliau diserbu oleh ribuan peminatnya di beberapa lokasi sesi penggambaran yang diadakan di negara ini.

Kabali merupakan sebuah filem mengenai kehidupan sebenar kumpulan penjenayah (Don) di India arahan P. Ranjith yang turut menyaksikan penampilan khas beberapa pelakon tempatan antaranya Datuk Rosyam Nor, Norman Hakim, Zack Taipan dan menantu kepada bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu iaitu Datin Seri Shaila Nair.

Selain pelakon berkenaan, aktor popular Hong Kong, Jet Li turut terlibat dalam filem lakonan Rajinikanth ke-159 itu.