Penganugerahan itu sekali gus menjadikan Rajah sebagai tokoh akademik kelima dilantik Profesor Ulung Negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Profesor Ulung merupakan ikon yang disanjung dan diteladani kesarjanaannya.

Katanya, Profesor Ulung me­rupakan radas kepada idea yang berperanan memberikan kefahaman kepada rakyat serta pe­ngubah strategi dalam masyarakat yang bertamadun tinggi agar sentiasa di hadapan.

“Rakyat Malaysia memandang tinggi kepada golongan ­cendikiawan, apatah lagi Profesor Ulung yang turut menerima pengiktirafan daripada cerdik pandai antarabangsa dalam bidang yang mereka pelopori.

“Malah, manfaat ilmu yang ada pada personaliti unggul Profesor Ulung juga boleh merapatkan jurang antara kompleksiti idea institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat kebanyakan,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian anugerah tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Tan Sri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Profesor Ulung sebelum ini dianugerahkan kepada Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan, Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Datuk Dr. Looi Lai Meng dan Datuk Dr. Harith Ahamd.

Dalam perkembangan ber­kaitan Idris berkata, kerajaan te­lah bersetuju untuk menyediakan dana berbentuk geran penyelidikan bernilai RM300,000 kepada penerima anugerah tersebut.

Menurut beliau, langkah itu adalah bagi memanfaatkan lonjakan akademik yang dimiliki oleh Profesor Ulung bagi merancang penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi.

Pada masa sama Idris menjelaskan, golongan itu berupaya menggalakkan serta menginstitusikan idea bakat-bakat muda yang berpotensi untuk menyumbang dengan aktif kepada pembangunan ekonomi negara.

“Pelantikan Profesor Ulung juga adalah antara usaha supaya kelompok ahli akademik dan penyelidik tersohor akan terus merintis jalan untuk melahirkan pemenang Hadiah Nobel suatu hari nanti,” katanya.