Beliau yang terkenal dengan jolokan Raja Teromba mengucapkan rasa syukur dan bertekad mahu lebih aktif mempromosikan seni teromba kepada masyarakat umum, terutamanya pelajar sekolah.

“Saya berasa terharu kerana sumbangan saya dan keluarga diiktiraf. Saya juga rasa bersyukur dan menganggap ini adalah satu amanah yang berat untuk meneruskan warisan teromba yang cukup bernilai ini.

“Ini juga sebagai hadiah perkahwinan saya dengan isteri, Datin Paduka Siti Hajar Raihan yang turut bersama saya dalam banyak persembahan teromba di pelbagai tempat. Tidak juga saya lupa, ini adalah berkat ilmu didikan arwah emak, bapa, guru dan anak-anak,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perisytiharan Warisan Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Teromba merupakan sejenis puisi tradisional Melayu yang disampaikan secara berirama dan mengandungi peraturan serta undang-undang kehidupan. Di Negeri Sembilan, ia turut digunakan untuk menyampaikan perkara-perkara yang tercatat dalam Adat Perpatih.

Boleh dikatakan, Mohd. Rosli merupakan tokoh rujukan utama bagi sesiapa yang mahu menghasilkan kajian berkenaan teromba. Malah, beliau sehingga kini telah menghasilkan kira-kira seratus buah buku tentang puisi tersebut serta adat dan budaya Negeri Sembilan.

Penerima Anugerah Tokoh Budaya Negeri Sembilan 2015 ini juga sering membuat persembahan teromba selain menggunakan teromba dalam pengacaraan dan ucapan.

Mengulas tentang perancangannya untuk menyebarkan ilmu tentang seni teromba kepada generasi muda, beliau berhasrat untuk menggunakan platform sekolah untuk mempopularkan seni puisi itu.

Kata beliau, dengan bantuan isteri beliau, lebih banyak kajian, ceramah dan latihan teromba akan diadakan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Yang penting kena latih anak muda. Saya juga telah siapkan banyak buku tentang teromba untuk dirujuk serta modul untuk membantu guru dan persatuan sebagai pelapis warisan teromba.

“Saya akan lebih agresif mengajar teromba kepada semua pihak tanpa kenal penat,” ikrarnya.

Selain Mohd. Rosli, lima lagi tokoh yang diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan bagi kategori Orang Hidup ialah Omar Md. Hashim atau Omara untuk seni Boria, Razak Senik (seni muzik Rodat), Tan Chai Puan (Gendang 24 Perayaan), Datuk Mohd. Baharim Mohd. Sharip (Dondang Sayang) dan Norhaiza Noordin (Ukiran Kayu Melayu). - UTUSAN ONLINE