Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun program perintis tersebut merupakan satu pengiktirafan besar daripada kerajaan Arab Saudi, namun beliau kecewa apabila terdapat segelintir rakyat yang meremehkan perkara berkenaan.

“Duta menelefon saya memohon visa dengan segera kepada 20 pegawai Imigresen Arab Saudi untuk berada di sini, untuk cop kedatangan. Tiada negara lain, ertinya sayangnya Raja Salman kepada rakyat dan pemimpin Malaysia.

“Namun, ada yang mere­mehkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan mengenai pelepasan yang dibuat di sini.

“Selalunya kita meremehkan apa yang terbaik untuk kita. Kita sering memandang bintang di langit tetapi tidak memandang rumput di bumi, itulah silapnya kita di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis pelepasan jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Seramai 483 jemaah haji berlepas ke Mekah pada pukul 5 petang hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan KT79.

Mereka merupakan kumpulan kedua terakhir berangkat ke Tanah Suci manakala kumpulan akhir akan berangkat esok.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menempelak segelintir pemimpin pembangkang yang cuba mencampur-adukkan isu berkaitan agama Islam dengan politik dan beliau menyamakan perbuatan itu sebagai tidak beradab.

“Kalau ada sebuah negeri memberikan RM500 kepada jemaah haji dan mengatakan ne­geri itu terlalu bagus, ingatlah apa yang Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan sudah lakukan. Tahun ini Tabung Haji menyediakan subsidi lebih RM260 juta, secara perbandingan ada jemaah haji di negara jiran yang perlu membayar RM15,000 untuk pakej haji paling murah berbanding negara kita cuma RM9,980,

“Prinsip saya, kita boleh berbeza pendapat, pendirian politik tetapi dalam hal ehwal agama, kita jangan gunakan agama untuk politik, tetapi gunakan politik untuk menguatkan agama. Itu pegangan yang harus ada pada kita semua,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan 30,200 jemaah haji Malaysia supaya menggunakan sepenuhnya waktu wukuf di Arafah sebaik mungkin dengan memperbanyakkan ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengelak daripada me­lakukan perbuatan merugikan.