Dalam masa sama, baginda turut memuji Dr. Mahathir yang disifatkan sebagai individu yang sentiasa menepati janji.

“Pada pandangan saya mengenai Dr. Mahathir, apa yang dia kata (janji) dia akan buat. Saya juga hormati Dr. Mahathir sebab hendak perbetul apa yang tidak betul di negara ini.

“Terima kasih Dr. Mahathir kerana sukarela kembali ketuai negara,” titah baginda dalam majlis santapan negeri di Dewan Bankuasi, istana Arau, di sini malam tadi.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Kehadiran Dr. Mahathir dan Siti Hasmah adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku Syed Sirajuddin yang ke-75 yang diadakan pada hari ini.

Sementara itu, ketika bertitah, Tuanku Syed Sirajuddin turut mengimbau kembali kenangan bersama Dr. Mahathir ketika baginda menjadi Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2001 sehingga 2006.

“Semasa jadi Agong, setiap minggu saya akan jumpa Dr. Mahathir. Kali pertama kami jumpa ialah pada bulan Ramadan di Kuala Lumpur. Pada masa itu, saya terlewat dan dalam pertemuan kedua, Dr. Mahathir pula terlewat. Saya ingat dia hendak balas dendam.

“Dalam pertemuan selepas Dr. Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri, saya bertanyakan kembali kepada Dr. Mahathir, adakah dia ingin membalas dendam ketika pertemuan mereka dulu,” titah baginda sambil tersenyum mengimbau kenangan tersebut.

Dalam pada itu, baginda turut menyifatkan Dr. Mahathir sebagai seorang individu luar biasa.

“Tidak ada siapa boleh buat apa yang dia buat sekarang ketika usia 93 tahun (menjadi Perdana Menteri). Saya harap Dr. Mahathir terus mengetuai negara dengan baik,” titah baginda. - UTUSAN ONLINE