Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YIDE, Nur Mohd. Razali Abdullah berkata, sumbangan kepada anak-anak yatim pada tahun ini melibatkan empat daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Hulu La­ngat dan Hulu Selangor.

“YIDE merupakan organisasi penuh di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang diamanahkan menjaga hal ehwal kebajikan anak-anak yatim khususnya berkenaan sumbangan Hari Raya Aidilfitri.

“Selain itu, kita juga berpe­ranan menyalurkan sumbangan kecemasan kepada mangsa-mang­sa yang menghadapi mu­sibah seperti kebakaran dan banjir dengan memberikan kit barangan keperluan harian dan wang tunai,” katanya dalam majlis penyerahan yang berlangsung di Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 678 anak-anak yatim di daerah ini menerima wang tunai RM100 bagi membantu persiapan menyambut hari raya.

Dalam majlis tersebut, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM67,800 kepada anak-anak yatim.

Baginda turut berkenan menunaikan solat Zuhur berjemaah bersama rakyat.

Turut berlangsung tazkirah yang disampaikan oleh Muhammad Hafiz Mohd. Haneefa yang lebih dikenali sebagai PU Hafiz.