Pada masa sama baginda yang juga Tuanku Canselor Unimap bertitah berharap agar seluruh warga universiti tersebut dapat melipatgandakan usaha bagi memastikan Unimap sentiasa berdaya saing.

“Jangan sekali-kali ketinggalan berbanding universiti-universiti lain di dalam dan juga di luar negara,” titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) 2017 Unimap yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Tuanku Pro-Canselor universiti.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan-timbalan Naib Canselor universiti.

Tuanku Syed Faizuddin Putra seterusnya bertitah, untuk menjadikan Unimap sebagai sebuah universiti yang hebat dan mantap, keseluruhan warga kerjanya hendaklah memiliki dan menerapkan ciri-ciri proaktif dan mengambil inisiatif membetulkan niat serta beramanah dalam bekerja.

“Warga universiti juga mestilah komited terhadap kerjaya, berakhlak mulia, jujur dalam pekerjaan, sentiasa bersyukur dan cekap dalam menguruskan masa.

“Selain itu selalu menilai diri dengan bermuhasabah serta bijaksana dalam tindakan,” titah baginda lagi.

Turut diadakan bersempena majlis tersebut ialah pemeteraian Perjanjian Persefahaman di antara Unimap dengan University of Medea dari Algeria, penyampaian Sijil Sistem Makmal Malaysia (SMM) dan penganugerahan Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang yang melibatkan seramai 31 orang penerima, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (127 orang penerima) dan Anugerah Penghargaan Khas (enam orang penerima).

Lebih manis, majlis tersebut turut meraikan sambutan hari ulang tahun keputeraan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen ke-48 yang jatuh pada hari semalam dengan upacara memotong kek. - UTUSAN ONLINE