Hadir sama, Naib Canselor Unimap, Prof Datuk Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dan Pendaftar merangkap Setiausaha Lembaga Pengarahnya, Zuber Mohamad.


Mohd. Sofi mengambil alih jawatan itu daripada Prof Emeritus Datuk Ir. Dr. Zainai Mohamed pada Julai 2017.


Dalam majlis itu, Mohd. Sofi mempersembah maklumkan hala tuju dan juga perancangan rapi yang sudah dan sedang dirancang oleh pihak universiti bagi mempersiapsiagakan warganya untuk memastikan Unimap terus kekal relevan dan kompetitif.


Ini khususnya dalam persediaan menghadapi segala cabaran jangka pendek dan panjang termasuklah mendepani pertumbuhan ledakan ekonomi digital global dan juga Revolusi Industri Keempat (Industri 4.0.).


Mohd. Sofi berpengalaman luas dalam mengemudi syarikat-syarikat dalam industri kejuruteraan dan sudah menjadi ahli lembaga universiti tersebut sejak Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (Kukum).


Pada masa sama, Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Unimap ketika bertitah dalam pertemuan itu mahu melihat universiti berkenaan sentiasa berada di tahap terunggul di peringkat nasional dan antarabangsa.


Baginda bertitah, mahu semua warga kerjanya efisien, berinovatif dan bermotivasi serta terus menghasilkan reka cipta yang berkualiti dan berimpak tinggi. 


“Beta mahu pelajar Unimap beretika, kreatif, fleksibel dan mampu membuat keputusan-keputusan yang matang.


“Graduan juga hendaklah sentiasa diterima dalam pasaran pekerjaan seperti yang dibuktikan sejak majlis graduasi kali pertama lagi khususnya oleh industri,” titah baginda.


Pada masa yang sama, Tuanku Syed Faizuddin mahu negeri Perlis serta rakyatnya sentiasa mendapat limpahan manfaat daripada kewujudan Unimap sejak kira-kira 16 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE