Baginda yang juga peminat sukan berbasikal menyifatkan sukan itu berupaya menjadi “lombong emas’ bagi acara trek dan peluang itu perlu direbut bagi mengumpul kilauan emas untuk negara.


Menurut siaran media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika bertemu pasukan berbasikal Malaysia yang kini menjalani latihan di Velodrome, Darebin International Sports Centre, Melbourne, Australia. 


Baginda yang juga Pengerusi YTSP turut menasihati para pelumba supaya tidak mengambil sebarang ubatan atau makanan tambahan yang mungkin mengandungi dadah kerana ia akan memberi kesan buruk kepada pelumba itu sendiri.


“Sukan SEA yang akan berlangsung di Malaysia Ogos ini bukanlah satu-satunya yang menjadi sasaran. Mereka harus pergi lebih jauh daripada itu dengan membawa slogan” Malaysia Boleh sehingga ke kejohanan bertaraf dunia,” titah baginda.


Raja Muda Perlis juga berharap velodrom tertutup di Nilai yang baharu dibina akan membawa harapan negara dan rakyat terutama para peminat acara itu.


Bersempena kunjungan itu, baginda turut menyampaikan anugerah Pingat Cemerlang Yayasan Tuanku Syed Putra 2017 kepada pelumba basikal wanita negara Anis Amira Rosidi.


Selain menerima pingat, pelumba kelahiran Perlis berusia 19 tahun itu turut menerima sijil penghargaan dan wang tunai RM3,000 dari YTSP.


Baginda turut menyerahkan sumbangan aidilfitri YTSP kepada 10 pelumba negara yang sedang menjalani latihan di di veledrom itu dengan setiap seorang menerima sebanyak RM500. 


Baginda diiringi anakanda-anakanda iaitu puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail pada kunjungan itu.


Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Melbourne Westmoreland Palon dan jurulatih pasukan kebangsaan John Beasley.


Sementara itu pelumba negara Mohd Azizulhasni Awang yang juga dikenali sebagai ‘The Pocket Rocket Man’ berterima kasih atas kata-kata semangat baginda kepada beliau dan rakan-rakan pelumba yang kini sedang dalam persiapan ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.- BERNAMA