Menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini, program tahunan ke-15 itu dianjurkan oleh majlis tersebut dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.


Berangkat sama pada program itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.


Dalam kunjungan itu Tuanku Syed Faizuddin singgah di Pondok Darulislan M.3 Thapo, Khlong Nge, Sadao yang menempatkan 30 warga emas mendalami ilmu agama dan 200 kanak-kanak yang mengikuti pengajian agama pada setiap Sabtu dan Ahad.


Baginda kemudian singgah di Masjid Sollahuddin Bangfab berusia setahun yang dibina hasil sumbangan orang ramai dan seorang dermawan dari Doha, Qatar di pinggir kota Hatyai untuk menunaikan solat jamak zuhur dan asar.


Di kedua-dua tempat itu Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan masing-masing sebanyak RM2,000 bagi menganjurkan aktiviti ihya Ramadan.


Dalam titahnya, baginda menyeru umat Islam supaya saling memperingati dan bersedia melakukan perubahan untuk membaiki diri atau organisasi masing-masing.


Baginda juga mahu umat islam mengawal nafsu, mengamalkan cara hidup sederhana, dan tidak membazir. - BERNAMA