Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut berkenan berangkat dalam program berasingan untuk golongan wanita, tetapi bagi tujuan sama iaitu untuk mengumpul dana tabung itu.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dijangka mengiringi baginda berdua dalam program yang dijangka bermula pukul 7.30 pagi sehingga pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, program kayuhan amal sejauh 15 kilometer (km) bagi kategori orang kenamaan (VIP) dan 47 km bagi kategori terbuka itu adalah bertujuan untuk mengisi tabung berkenaan bagi pembiayaan program pertukaran pelajar latihan industri.

Tabung itu juga digunakan untuk program persiapan bakal-bakal graduan, keusahawanan, persatuan dan kelab pelajar serta perbelanjaan tenaga pakar untuk mereka yang berada di bawah golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Ia dianjurkan melalui kerjasama oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pusat Sukan UiTM.

Yuran penyertaan bagi setiap peserta ialah RM50 bagi kategori pelajar dan terbuka, manakala untuk korporat pula ialah sebanyak RM5,000.

Pada pagi sama akan turut diadakan acara ‘GorGo Race - Queen of Sparta 2018’ bagi golongan wanita yang akan disertai Tuanku Hajah Lailatul Shahreen.

Ia berkonsepkan larian berhalangan dengan jarak kira-kira lima kilometer yang melalui 20 jenis halangan, melibatkan kawasan di dalam kampus.

Yuran penyertaan juga adalah RM50 setiap seorang untuk pelajar dan juga terbuka. - UTUSAN ONLINE