Menurut baginda antara usaha kerajaan ialah program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) iaitu memudahkan setiap anggota tentera memiliki sebuah rumah, pembiayaan persekolahan anak-anak tentera dan menambah baik profesion serta peluang kenaikan pangkat.

"Oleh itu setiap anggota tentera harus berusaha untuk menjadikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pasukan terunggul dan dihormati," titah baginda pada sambutan Hari Pahlawan anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Surau Nurul Yaqin, Taman Melati Indah, Beseri dekat sini, malam tadi.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah anggota tentera yang berada dalam perkhidmatan juga wajar melanjutkan tempoh perkhidmatan sehingga 25 tahun ke atas supaya layak menerima pencen.

"Beta juga dimaklumkan kira-kira 39,000 unit rumah akan dibina untuk anggota ATM dan sebanyak 4,000 unit telah dibina, 3,500 unit lagi akan dibina dalam masa terdekat sementara 31,500 unit berikutnya akan dibina di beberapa kem tentera di seluruh negara," titah baginda. - BERNAMA