"Semoga kita akan menjadikan sambutan Maal Hijrah setiap tahun sebagai titik semakan pencapaian kita dari sudut hijrah minda, di manakah kita, dan sejauh manakah pencapaian kita selama ini," titah baginda yang berangkat mewakili Raja PerlisTuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perlis di Dewan Warisan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Titah baginda hijrah sebenarnya bukan hanya satu peristiwa perpindahan jasmani semata-mata tetapi turut melibatkan perubahan, kemajuan dan penambahbaikan diri dan masyarakat ke arah yang dapat memartabatkan lagi Islam di mata dunia.

Pembinaan asas ini, titah Raja Muda haruslah bermula dengan membetulkan diri dari segi sikap dan pemikiran sebagai satu bentuk 'jihad' bagi melonjakkan nama baik Islam dalam pelbagai sudut.

"Semangat inilah yang menggerakkan kita dalam mengikuti sunah baginda Nabi Muhammad SAW, bukan sekadar perpindahan fizikal, bahkan melibatkan penghijrahan minda," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Titah baginda apabila disebutkan 'negeri maju', kebanyakan memahaminya sebagai maju dari aspek pembangunan fizikal semata-mata iaitu tinggi atau rendah bangunan dibina, dan kemudahan yang ada.

Walaupun ini bukan satu kefahaman yang salah, harus difahami kemajuan tidak 'dihadkan' dengan soal pembinaan fizikal sahaja sebaliknya kemiskinan juga antara masalah yang perlu diberikan perhatian, titah baginda.

Baginda juga meluahkan rasa kesal kerana masih terdapat sebahagian mereka yang seolah-olah 'selesa' dengan kesusahan hidup, lantas menjadikan mereka individu yang hanya mengharapkan bantuan semata-mata dan tiada sebarang motivasi serta inisiatif untuk mengubah nasib diri.

"Pemikiran sebeginilah yang menguasai minda umat Islam sehingga menyebabkan kemunduran umat berlaku hari ini," tegas baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut berpandangan sumbangan zakat tidak wajar diberi secara berterusan sebaliknya dijadikan bantuan untuk golongan berkenaan memulakan usaha mengeluarkan diri dan keluarga daripada belenggu kemiskinan.

Baginda turut kesal kerana banyak perkara yang dituntut Islam seperti soal kebersihan, pengurusan alam sekitar, etika kerja, integriti dan penguasaan ilmu masih dijuarai oleh negara bukan Islam, sekali gus menunjukkan masalah sikap dan pemikiran dalam kalangan umat Islam itu sendiri.

"Lihatlah bagaimana negara-negara maju yang rata-ratanya bukan beragama Islam lebih prihatin dalam perkara-perkara ini, walhal umat Islam adalah lebih berhak dalam soal ini," titah baginda.

Pada majlis tersebut dua tokoh agama tempatan, Karim Salleh, 76 dan Azizah Abu Seman, 71, dinamakan Tokoh Maal Hijrah Perlis yang turut menyertakan hadiah wang tunai RM7,000, masing-masing.

Tuanku Syed Faizuddin berkenan menyampaikan anugerah berkenaan selain turut menyampaikan anugerah Jaizah Maal Hijrah kepada Allahyarham Lt. Kol. Yazmi Mohamad Yusof.

- BERNAMA