wuf2
 

Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menerima kunjungan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta beberapa delegasi asing yang menyertai persidangan itu dan mendengar pembentangan kertas kerja para peserta.

Terdahulu baginda turut menyertai aktiviti berbasikal bagi mempromosi kegiatan kayuhan di ibu negara yang turut disertai Menteri Perdagangan Luar, Pembangunan Kerjasama Belanda, Sigrid Kaag, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Abdul Aziz dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat), Datuk Maimunah Sharif.

Kayuhan hari ini sejauh 1.2 kilometer bertemakan pakaian kerja bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai tentang aktiviti tersebut dan pada masa mendidik pengguna jalan raya lain supaya turut bertolak-ansur menjaga keselamatan bersama.

Pengguna jalan raya lain juga diharap tidak meletakkan kenderaan di laluan yang dikhususkan untuk basikal.

Sementara itu Sigrid ketika ditemui pemberita memberitahu, Malaysia perlu perancangan rapi sebelum menyediakan laluan khas untuk basikal.

Menurut beliau, ia penting untuk memberi keyakinan kepada orang ramai tentang keselamatan mereka ketika berkayuh di dalam bandar.

“Selain memahami cara kayuhan dan aspek pakaian yang sesuai, orang ramai juga perlu dididik berkaitan aspek menjaga keselamatan,” katanya.

WUF9 disertai 25,660 dari 185 negara dengan 90 peratus adalah negara-negara kurang membangun. - UTUSAN ONLINE