Baginda berdua sempat melawat Brunei Royal Regalia Building dan Pusat Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei.


Keberangkatan baginda berdua ialah bagi mewakili Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid bagi memenuhi undangan bersempena sambutan perayaan Jubli Emas Menaiki Takhta Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’ adul Khairi Waddien.


Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda sulung puteri Sharifah Khatreena Nuraniah dan anakanda bongsu Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.


Istiadat kemuncak sambutan 50 Tahun Pemerintahan baginda itu ialah Majlis Persantapan malam yang akan dilaksanakan di Istana Nurul Iman pada malam ini. 


Negara Brunei Darussalam berkeluasan 5,765 kilometer persegi (atau 2226 batu persegi) mempunyai penduduk seramai 423,196 orang.

Raja Muda Perlis turut berangkat menunaikan solat jumaat di Masjid Mohammad Bolkiah Kg Serusop, Bandar Seri Begawan tengahari tadi dan keberangkatan baginda disambut oleh imam masjid, Muslim Abd Razak


Bersempena keberangkatan tersebut baginda yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan plaka dan juga sumbangan zakat MAIPs berjumlah RM1,000 kepada masjid tersebut yang boleh memuatkan seramai 3,000 orang jemaah pada satu-satu masa. - UTUSAN ONLINE