Dalam masa sama, baginda turut yakin bahawa anggota tentera akan terus mempamerkan profesionalisme, patriotisme, integriti dan menjadi contoh kepada masyarakat.

"Hubungan tentera dengan semua agensi kerajaan yang lain serta hubungan di antara tentera dan awam hendak terus dieratkan lagi dalam memelihara keharmonian dan keamanan negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat melancarkan program kayuhan basikal sempena Hari Ulang Tahun Tentera Darat Malaysia (TDM) ke- 86 di pekarangan Masjid As-Sobirin Kampung Gial, Mata Ayer di sini, semalam.

Program tahunan pada kali ini adalah anjuran Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Mata Ayer dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Pendidikan negeri.

Sementara itu, baginda bertitah, TDM juga memegang teguh kepada wasiat raja-raja Melayu dan Ikrar Kesatria kerana kedua-duanya adalah sumpah dan janji mutlak kepada negara dan perkhidmatan. - UTUSAN ONLINE