Titah baginda, sebagai contoh, rakyat Switzerland yang boleh berkomunikasi dalam sekurang-kurangnya lima atau enam bahasa dari negara lain seperti bahasa Perancis, Jerman, Itali dan Inggeris.

Justeru, baginda berharap setiap individu mempunyai kreativiti dalam mempelajari pelbagai bahasa asing dan perlu diberi penekanan di usia awal lagi.

“Bagi memperkasakan lagi penguasaan seseorang berbahasa asing, kita perlu mendaftar dalam kelas-kelas bahasa secara formal selain boleh dilaksanakan melalui kaedah membaca, berlatih bercakap tanpa berasa malu, menonton filem, menyanyi lagu, berinteraksi melalui media sosial dan bagi yang berkemampuan bolehlah mengunjungi negara tersebut,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan singgah menunaikan solat Jumaat dan menyerahkan sumbangan zakat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di Masjid Bantalosai, Pak Bara, Wilayah Satun, Thailand, baru-baru ini.

Sumbangan berjumlah RM2,000 itu adalah tujuan untuk kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan masjid berkenaan.

Mengiringi baginda ialah Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Shahrul Azhar Md Dali; Pengurus Wilayah 1 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kangar, Zairizal Zainol dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Ishak Mohd. Radzi.

Terdahulu, pada sebelah paginya baginda berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal Merdeka Ride 2018 edisi 3.0 sejauh 33 kilometer di sekitar kawasan Pak Bara.

Sementara itu, baginda bertitah, dalam usaha mengeratkan lagi hubungan silatulrahim antara masyarakat Perlis dan Satun adalah dengan masing-masing boleh menguasai bahasa kedua-dua negara.

“Lebih ramai rakyat Perlis digalakkan belajar berbahasa Thailand dan dalam masa sama warga Satun khususnya dialu-alukan supaya menguasai Bahasa Melayu,” titah baginda.- UTUSAN ONLINE