Berkenan sama menandatangani petisyen itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan adinda Raja Muda Perlis, Datuk Seri Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Program menandatangani petisyen itu diadakan sempena Bengkel Ke Arah Pembinaan Jati Diri Yang Cemerlang Untuk 39 Pelajar Terbaik dan Cemerlang serta 58 Pengawas Terpilih Sekolah Menengah Perlis 2017.

Ia merupakan anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis.

Yang turut hadir Setiausaha YTSP, Datuk Johari Mohd. Darus dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Kebajikan Perlis, Affendi Rajinikhan.

Affendi berkata, program itu membuktikan Perlis menentang sebarang kegiatan buli di sekolah.

“Kita tidak mahu mangsa buli mendiamkan diri sebaliknya tampil membuat laporan tanpa rasa takut,” katanya.

Beliau memberitahu, petisyen mengenai program ‘Buli Bukan Budaya Kami’ yang ditandatangani oleh Tuanku Syed Faizuddin itu turut ditandatangani oleh seramai 5,000 pelajar di Perlis sambil berikrar bencikan budaya buli dan segera melaporkannya jika berlaku.

Affendi berkata, petisyen itu akan dihantar ke Kementerian Pendidikan nanti. - UTUSAN ONLINE